Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 27 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia untuk mengkaji cadangan membina perkhidmatan kereta api di Cameron Highlands.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, namun tiada sebarang perbincangan rasmi dilakukan setakat ini.
“Kalau sekiranya ada proposal, kita akan kaji dan teliti. Tak pernah dibincangkan. Cakap-cakap kedai kopi adalah. Secara formal tak ada,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri bersedia mengkaji perkara ini namun bergantung kepada pertimbangan melibatkan beberapa perkara.
“Kalau sekiranya itu (pembinaan) memberi kemudahan, keselesaan, boleh meningkatkan infrastruktur, insyaAllah kita akan pertimbangkan dan tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan terdapat gesaan untuk Kerajaan Negeri Pahang membatalkan rancangan pembinaan landasan kereta api menghubungkan Blue Valley dan Ringlet di Cameron Highlands oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Alam Sekitar.
Menurut laporan media berkenaan, presiden Regional Environmental Awareness Cameron Highlands (Reach), Encik A. Dilip Martin mendakwa kajian sejak tiga hingga enam bulan lalu telah dilakukan bagi pembinaan ini.
Dilip juga berkata projek landasan kereta api yang dicadangkan itu tidak termasuk dalam Pelan Tempatan Daerah Cameron Highlands 2030 (RTDCH 2030). -PAHANGMEDIA

