Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
ROMPIN, 15 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang meminta pihak Genting Malaysia Berhad untuk mengambil kira kebajikan pengguna harian bagi laluan berkenaan sekiranya pembayaran tol dilaksanakan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, ini bagi memastikan kesejahteraan pengguna dan tidak membebankan mereka.
“Kerajaan negeri berharap syarikat Genting mengambil kira semuanya. Selain pihaknya menanggung kos penyelenggaraan dan pembinaan, mereka juga perlu mengambil kira dari segi kebajikan.
“Bagi kebajikan penduduk tempatan yang bekerja atau ibu bapa yang mengantar anak ke sekolah di kawasan itu, mereka patut mengambil kira. Kalau boleh diberikan diskaun ataupun tol percuma kepada mereka, ini harapan kita,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan bayaran tol yang bakal dikenakan oleh pihak Genting Malaysia Berhad, beliau berkata laluan sepanjang 24 kilometer tersebut juga merupakan jalan persendirian dan bukan jalan persekutuan ataupun jalan negeri.
“Sejak 1960-an lagi, penyelenggaran jalan, cerun serta kerja-kerja sepanjang laluan tersebut telah ditanggung sepenuhnya kosnya oleh pihak Genting Malaysia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Sebelum itu, pada Khamis lepas, menerusi satu kenyataan, Genting Malaysia mengesahkan bahawa akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands namun tarikh pelaksanaan dan jumlah bayaran belum dinyatakan secara rasmi.
Semalam, Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di laman Facebook turut memaklumkan berdasarkan semakan awal kementeriannya serta maklumat yang diterima, laluan yang dikenakan bayaran tol dimaksudkan terletak di atas tanah milikan persendirian. -PAHANGMEDIA

