Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 NOVEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengadakan audit kewangan dan pengurusan melibatkan semua masjid kariah di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, pelaksanaan ini selaras dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

“Masjid ini (yang akan di audit) adalah masjid kariah, dia bukan duduk di bawah pentadbiran kerajaan. Masjid daerah memang duduk di bawah kerajaan dan di audit di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
“Jadi audit ini juga atas saranan Tuanku Paduka Baginda Sultan Pahang maka ini boleh memberikan satu keupayaan yang baru kepada masjid itu dalam pengurusan kewangan.

“Dan tuanku hasratnya jauh bukan sekadar pengurusan kewangan tapi masjid tu mampu jadi satu badan yang boleh membantu ahli kariahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Agama melibatkan masjid dan surau kebenaran Jumaat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM6.97 juta bagi tujuan pengagihan IM Pahang kluster agama melibatkan 697 masjid dan surau kebenaran Jumaat tahun ini.
“Sebanyak 256 masjid dan surau kebenaran Jumaat menerima inisiatif itu dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.56 juta.

“Hari ini adalah fasa kedua membabitkan masjid dan surau (kebenaran Jumaat) untuk zon Pahang Timur. Selepas ini kita akan buat program sama bagi zon Pahang Barat, mungkin hujung bulan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

