Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 24 OKTOBER 2025 : Penubuhan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) dijadikan contoh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah, Majlis Mesyuarat Dewan Negara melalui kunjungan ke Negeri Pahang hari ini.
Menurut YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, lawatan ini dijalankan memandangkan negeri ini merupakan salah satu negeri terawal melaksanakan jawatankuasa ini.

“Lawatan tadi adalah lawatan yang dibuat oleh Pilihan Khas Integriti Tatakelola Parlimen ataupun Jawatankuasa Ombudsman, yang mana ianya datang untuk melihat sendiri ataupun mereka ingin mendengar taklimat Negeri Pahang kerana Negeri Pahang adalah merupakan salah satu negeri terawal selain Negeri Sarawak yang telah ada Jawatankuasa Ombudsman ini.
“Mereka merasakan kita ini agak advance sebab kita ini adalah negeri yang kedua selepas Sarawak yang terkehadapan dalam menyahut seruan kerajaan untuk mengadakan Jawatankuasa Ombudsment ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti, dan Antirasuah (JKPK TIA), Majlis Mesyuarat Dewan Negara Ke Negeri Pahang hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang yang ditubuhkan pada 2021 ini diwujudkan bagi melihat kesalahan, kepincangan, dan juga kesilapan yang tidak mengikuti tatakelola.
“Jadi dia ini lebih kepada mendengar all the whistleblower daripada semua yang ada di Negeri Pahang, rakyat dan juga siapa-siapa yang ingin membuat aduan.
“Ini adalah bertujuan untuk kita memperkemaskan lagi supaya tidak ada ketirisan. Keduanya, semuanya berjalan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan sebagainya.

“Jadi sebab itulah tadi, kerana di Parlimen tidak melaksanakan, mereka datang ke Pahang ini kerana kita telah laksanakan, dan mereka tahu bahawa kita telah bermula pada tahun 2021 lagi,” katanya.
Hadir sama, Pengerusi JONP yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.
Turut hadir, Pengerusi JKPK TIA, YB. Senator Dato’ Setia Sallehuddin Saidin; Timbalan Pengerusinya, YB. Senator Puan Susan Chemerai Anding; dan YB. Senator Tuan Haji Hussin Ismail. -PAHANGMEDIA

