Oleh : Syaherah Azmi & Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 4 OGOS 2025 : Dewan Negeri Pahang baharu bertempat di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang kini dalam proses pembinaan bakal dilengkapi hiasan panel dinding dari kain Tenun Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, beliau melihat proses kerja sulaman tenun bagi panel dinding berkenaan berjalan lancar seperti yang dirancang.

Katanya, kerja pembuatan tenun itu kini telah mencapai 24 peratus daripada jumlah panjang kain sulaman tenun itu iaitu sebanyak 1,320 meter.
“Sehingga hari ini, dah mencapai 24 peratus ataupun 319 meter (sulaman tenun) yang dah siap,” katanya ketika menghadiri lawatan kerja di Pusat Tenun Pahang Felda di Felda Chini di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin serta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan Dewan Negeri Pahang yang terlibat dalam pembinaan berkenaan.

YB. Dato’ Ir. Razali juga berkata, kerja-kerja membuat sulaman tenun untuk dinding panel Dewan Negeri berkenaan dijangka siap sekitar hujung bulan September ini.
“Ini akan menjadi salah satu tarikan dan keunikan Dewan Negeri Pahang di mana sekeliling dinding dalam di dewan itu adalah daripada kain Tenun Pahang yang secara tidak langsungnya memperkasakan Tenun Pahang dalam Dewan Negeri,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

