Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 JULAI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini bertitah bahawa setiap ceramah atau kuliah agama yang dianjurkan di Negeri Pahang perlu mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Titah Paduka Baginda itu dizahirkan ketika Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), yang turut menyaksikan pemasyhuran nama baharu masjid tersebut sebagai Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-66, di sini hari ini.
“Namun dalam usaha menganjurkan kuliah, forum dan ceramah di negeri ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap program ceramah atau kuliah yang melibatkan penceramah luar perlu membuat permohonan rasmi kepada JAIP.
“Dalam masa yang sama, setiap permohonan tersebut akan dinilai dengan mengambil kira pandangan serta nasihat daripada Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, agar isi kandungan ceramah itu tidak terpesong daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini,” titah Paduka Baginda.

Dalam majlis yang sama, Paduka Baginda turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Universiti al-Quran di bawah naungan UniPSAS yang kini menghampiri fasa penyempurnaannya.
“Maka, masjid ini boleh dijadikan antara lokasi utama nagi pelaksanaan hafazan, tadabbut dan tasmik Al-Quran, menjadikannya bukan sahaja tempat ibadah, tetapi juga medan penyubur cahaya wahyu dan warisan nubuwah,” titah Paduka Baginda lagi.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj; Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

