Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 20 JULAI 2025 : Festival Kesenian Peribumi Malaysia (FesKEP) @ Pahang 2025 bertempat di Dataran Temerloh, di sini, berjaya menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung sekali gus membuktikan keupayaan seni dan budaya masyarakat peribumi sebagai tarikan pelancongan berimpak tinggi.
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dengan kerjasama badan bukan kerajaan seni budaya ini turut mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Pahang dan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan serta daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, penganjuran program itu sejajar dengan dasar Kerajaan Negeri Pahang yang menjadikan “Budaya dan Komuniti Sebagai Teras Pelancongan” sebagai garis panduan utama dalam strategi pembangunan sektor pelancongan negeri.

“Belanjawan Negeri pada tahun ini memberi perhatian serius terhadap penglibatan masyarakat Orang Asli dalam pembangunan negeri dan sentiasa diberi penekanan.
“Peruntukan sebanyak RM2.03 juta disediakan untuk pelaksanaan projek baik pulih rumah Orang Asli dan projek pembekalan air ke kampung Orang Asli selain RM2.2 juta pula diperuntukkan untuk pelaksanaan program seperti e-DOA (Education Demi Orang Asli), program pembangunan belia dan insentif kecemerlangan akan diteruskan.
“Justeru, pencapaian dari segenap aspek diharapkan dapat memberi kekuatan untuk terus berkhidmat bakti kepada rakyat dan negeri tanpa merencatkan perancangan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan mewakili YAB. Menteri Besar Pahang. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff.
YB. Dato’ Hajah Sabariah berharap dengan penganjuran program itu juga dapat menjadi batu loncatan kepada limpahan ekonomi kepada negeri amnya dan penduduk khususnya.

“Penganjuran program ini merupakan kesinambungan pelaksanaan aktiviti bagi meneruskan usaha menarik pelancong ke Negeri Pahang yang telah berjaya merekodkan kehadiran sebanyak 13.74 juta orang pelancong harian sepanjang tahun lalu dengan anggaran perbelanjaan RM12.35 bilion, melepasi sasaran 13.5 juta yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan positif sebanyak 3.87 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 iaitu 13.23 juta pelancong dengan perbelanjaan dianggar sebanyak RM11.89 bilion sekali gus memperlihatkan segala usaha mempromosi Pahang sebagai lokasi pilihan pelancong berada di landasan yang betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, majlis perasmian berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan khas “Simfoni Alam” yang menggabungkan nyanyian, tarian dan muzik oleh pelbagai kumpulan kesenian peribumi dari seluruh negara.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu diserikan dengan pelbagai pertandingan berunsurkan seni dan budaya selain aktiviti santai seperti permainan tradisional Orang Asli, pertunjukan haiwan eksotik, zoo mini interaktif, demonstrasi silat, senam seni, menunggang kuda serta pelbagai aktiviti dari pelbagai agensi kerajaan. -PAHANGMEDIA

