Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 JUN 2025 : Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) akan memberi tumpuan kepada Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) sebagai agenda strategik angkatan udara yang kompeten dalam segala aspek terutamanya melibatkan teknologi.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, pelan transformasi jangka panjang TUDM ini bagi memastikan tanggungjawab dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara dapat diteruskan oleh generasi mendatang.

“TUDM akan terus menumpukan sepenuh perhatian kepada Pelan Transformasi Jangka Panjang TUDM iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP55.
“Pelan ini adalah agenda strategik untuk membentuk sebuah angkatan udaran lean, lethal, dan networked yang mampu menangani cabaran keselamatan masa hadapan termasuklah ancaman siber, peperangan elektronik, dron autonomi, dan konflik hibrid.

“CAP55 bukan untuk saya dan kepimpinan yang ada sekarang tetapi ia untuk generasi perwira dan perajurit yang akan datang untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-67 bertemakan Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara di Pangkalan Udara Kuantan.

Beliau berkata TUDM perlu tampil sebagai organisasi proaktif, fleksibel, dan berorientasikan masa hadapan memandangkan berdepan dengan landskap keselamatan yang semakin kompleks.
“Hari ini kita berdepan dengan landskap keselamatan yang kian kompleks, yang merangkumi konflik konvensional, ancaman tidak simetrik, serangan siber, peperangan kognitif, serta kemunculan teknologi disruptif.

“Suka saya tegaskan di sini bahawa CAP55 bukan sekadar pelan penggantian aset. Ia adalah pelan transformatif menyeluruh, melibatkan penstrukturan organisasi, integrasi sistem peperangan bersepadu, pengukuhan latihan, keupayaan logistik pintar, dan pengoperasian berlandaskan konsep multidomain operations,” katanya.
Tambah beliau, buat kali pertama sejak penubuhan TUDM 67 tahun lepas, TUDM telah berjaya meraih tiga pingat emas di peringkat dunia dalam pertandingan inovasi di Korea Selatan yang merupakan manifestasi keupayaan intelektual warga TUDM. -PAHANGMEDIA

