Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
ROMPIN, 17 APRIL 2025 : Kira-kira 5,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Jamuan Aidilfitri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Tahun 2025 Masihi / 1446 Hijrah yang berlangsung di Dewan Besar DARA, Muadzam Shah, di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, majlis berkenaan bukan sahaja disertai oleh penduduk setempat, malah turut menerima kehadiran masyarakat dari kawasan luar termasuk dari Tioman, Ibam dan Kuantan.

“Walaupun majlis ini dibuat untuk peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah, saya lihat ramai juga yang datang dari sekitar Rompin dan juga luar daerah seperti dari Kuantan. Saya ucapkan terima kasih atas sokongan semua yang hadir,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Menurut beliau, majlis sambutan Aidilfitri sebegini merupakan platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Kita jarang berpeluang bertemu dalam suasana santai sebegini. Hari inilah masanya untuk kita saling bertanya khabar dan mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin,” katanya.
Majlis yang bermula pada jam 11 pagi hingga 3 petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Saya bersyukur kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ini jelas menggambarkan semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat di kawasan ini,” katanya.
Tambah beliau, pihak penganjur sentiasa memastikan segala keperluan termasuk makanan mencukupi bagi keselesaan tetamu yang hadir.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pemberian sumbangan Kerajaan Negeri kepada 15 penerima terdiri dari pelbagai agensi dan persatuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan yang diberikan kepada penerima,” katanya. -PAHANGMEDIA

