Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan supaya penduduk di kawasan sekitar Balok Baru yang mengalami pencemaran udara menghentikan kegiatan luar buat masa ini termasuklah aktiviti yang melibatkan pelajar sekolah.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya dalam satu kenyataan media berkata, Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan ini disebabkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) merekodkan kategori sangat tidak sihat iaitu 251 setakat 2 petang semalam.
“Mengikut rekod, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kategori sangat tidak sihat iaitu 251 dicatatkan setakat 2 petang semalam dan dijangka semakin meningkat susulan kebakaran ladang kelapa berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular.
“Paduka Baginda berharap agar semua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan kawasan sekitar terutamanya mereka yang mempunyai masalah pernafasan lebih berhati-hati agar tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara tersebut.
“Kegiatan luar juga perlu dihentikan buat masa ini bagi mengelak daripada dijangkiti sebarang masalah kesihatan termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran secara terbuka terutamanya ketika musim cuaca panas dan berangin ketika ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YS Tuan Mohd Razam Taja Rahim, kebakaran melibatkan 75.676 hektar ladang kelapa di Jalan Pintasan Gebeng-Sungai Ular sejak 22 Februari lepas.
Setakat semalam, pihak bomba telah berjaya memadamkan 66.773 hektar kawasan terbakar dan kini berbaki 8.903 hektar yang belum dipadamkan. -PAHANGMEDIA

