Oleh : Ain Nadhirah Basha
MARAN, 10 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi membolehkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) menjadi pengelola terhadap pengurusan kutipan sewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di negeri ini.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ia juga bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan pembayaran sewa perumahan berkenaan.
“Kerajaan Negeri bersama LPHP menangani setiap isu, setiap perincian, secara terperinci. Contohnya bayaran sewa, dengan pendekatan yang baru ini kita akan selesaikan satu-satu berkaitan PAKR ini.

“MoU ini bukan sahaja diwujudkan antara BKT (Bahagian Kerajaan Tempatan) dan LPHP tapi juga Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri kerana kita nak melancarkan lagi, nak memastikan bahawa proses-proses pembayaran sewa dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP) Bersama Penduduk Taman Maran Damai di Dewan Kawasan Rukun Tetangga Taman Maran Damai.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor, Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Khairun Nissa Aris.
Tambah beliau, melalui pemusatan pengurusan dibawah satu pihak yang sama iaitu LPHP dan dibantu ia bukan sahaja memudahkan urusan semua pihak tetapi juga dapat memastikan banyak lagi pembangunan dapat dijalankan pada masa hadapan.
Majlis tersebut turut melibatkan sesi penyerahan cek bagi baik pulih Sistem Rawatan Berpusat (SRB) Kepada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. dan sesi penyerahan cek bagi bayaran utiliti Kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). -PAHANGMEDIA

