Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 9 FEBRUARI 2025 : Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang diraikan saban tahun amat bermakna dalam memupuk semangat saling menghormati antara kaum di negeri ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, tidak hanya itu, sambutan seumpama itu juga membolehkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini untuk saling memahami budaya masing-masing.

“Ini merupakan program yang dianjurkan oleh Persatuan Kesenian Opera Cina Kuantan dan Pahang sempena Tahun Baru Cina, tahun ular.
“Dan program ini amat bermakna di mana kita boleh memupuk semangat saling hormat-menghormati, saling memahami budaya unik masyarakat Cina yang diraikan setiap tahun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Pesta Tahun Baru Cina 2025 di ruang legar Kuantan Parade, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang dan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man.
Tambahnya lagi, prorgam seumpama itu harus diteruskan di masa akan datang sebagai salah satu usaha untuk memupukkan semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat.

“Saya yakin sekiranya kita dapat memupuk semangat saling mengasihi dan saling menghormati, kita dapat memperkukuhkan persaudaraan, kesatuan di antara kita.
“Dan yang uniknya program ini, kita memakai pakaian tradisi mengikut zaman-zaman dinasti Cina yang dahulu, pakaian berwarna-warni… begitu banyak persembahan dan antara pengisiannya juga ialah sumbangan kewangan kepada tiga rumah anak yatim yang terlibat pada hari ini.
“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan supaya kita dapat memupuk semangat ppersaudaraan antara masyarakat yang berbilang kaum yang ada di Malaysia,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

