Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Akmalia Allen
KUANTAN, 09 FEBRUARI 2025 : Sambutan Tahun Baharu Cina mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang telah lama terjalin di Negeri Pahang.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, kestabilan politik dan perpaduan antara semua kaum adalah asas utama kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Tahun Baru Cina bukan sekadar satu perayaan, tetapi juga sebuah tradisi yang kaya dengan nilai kebersamaan dan keharmonian.
“Negeri yang aman dan harmoni akan memberi keyakinan kepada pelabur, memperkukuhkan sektor ekonomi, serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan ini kerana kita sedar bahawa keamanan dan keharmonian tidak datang secara semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Jamuan Perayaan Tahun Baru Cina 2025 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Kuantan serta Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Kuantan di Hotel Zenith.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB. Senator Hajah Fuziah Salleh; Presiden Persekutuan Dewan-dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pahang, Dato’ Sri Chai Chow Sang; Pengerusi Gabungan Persatuan-persatuan Tionghua Kuantan, Dato’ Chai Yoon Siong; dan Pengerusi Majlis Jamuan Perayaan Tahun Baru Cina 2025, Dato’ Sri Ng Chong Keong.
Menurut beliau, majlis seperti ini juga boleh menjadi platform untuk membina persefahaman dan kerjasama yang lebih erat di antara masyarakat perniagaan dan Kerajaan Negeri Pahang.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sosioekonomi rakyat, termasuk dalam aspek kebajikan, pendidikan, serta pembangunan wanita dan keluarga,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan perayaan dibawah tahun ular ini menguatkan lagi hubungan antara kaum, memperkukuhkan perpaduan, dan menjadikan Negeri Pahang lebih stabil serta makmur.
“Saya berharap perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini dapat diraikan dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan semangat perpaduan.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk membina sebuah Negeri Pahang yang lebih maju, stabil, dan makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

