Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 27 JANUARI 2025 : Sekolah Patriotik UMNO Malaysia akan mengadakan proses temuduga bagi ambilan kedua sekolah berkenaan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada golongan muda.
Menurut Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sekolah ini dibuka bagi golongan muda berumur 18 tahun sehingga 39 tahun sebagai generasi pewaris UMNO di negara ini.
“Bagi batch pertama ini permohonan bagi memasuki sekolah ini lebih tetapi kita menyediakan 50 tempat sahaja dan bagi batch kedua, mereka akan melalui proses interview.
“Dan sekarang kita telah menerima banyak permohonan daripada anak-anak muda untuk memasuki Sekolah Patriotik UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Serbaguna SJKC Jerkoh, Benta.
Menurut beliau, sekolah ini juga dilihat dapat membantu mendatangkan perubahan positif dalam nafas politik UMNO di negara ini dalam tempoh sedekad atau lebih cepat lagi.
“Saya melihat anak-anak muda ini begitu bersemangat dan tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran dan mereka mengikut enam modul yang telah digubal untuk diikuti oleh peserta dan modul tersebut sangat berlainan dan tidak terdapat d Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Sekolah Politik ini penting dalam usaha UMNO untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri anak-anak muda agar mereka meneruskan kesinambungan kita dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau berkata sekolah tersebut tidak akan ditambah di mana-mana lokasi lain tetapi UMNO Negeri Pahang akan menggunapakai intipati sekolah berkenaan kepada pemuda dan puteri UMNO di negeri ini.
“Dikembangkan (ke lokasi lain) tidak, tetapi kita akan melatih pemuda, puteri di Pusat ILMU Janda Baik.
“Silibus yang tidak sama dengan sekolah UMNO tetapi mana-mana intipati kita akan ambil dan kita latihkan kepada puteri dan pemuda yang akan kita buat di Pusat ILMU,” katanya.
Sebanyak 50 peserta kumpulan siri pertama atau Patriot 1, Sekolah Politik UMNO memulakan perjuangan menggali ilmu politik selama tiga bulan di World Trade Centre (WTC) di Kuala Lumpur semalam setelah ia dilancarkan oleh Presiden UMNO Malaysia, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. -PAHANGMEDIA

