Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 24 DISEMBER 2024 : Pemberian insentif kecemerlangan pendidikan merupakan satu penghargaan oleh Kerajaan Negeri Pahang yang amat disyukuri oleh para penerimanya.
Pasangan kembar, Nuruljannah Khaliluddin, dan Nurulhuda Khaliluddin, 18, dalam masa sama turut melahirkan rasa gembira di atas pemberian inisentif tersebut.
“Cadangan nak buat simpanan (insentif kecemerlangan) dan kami sangat gembira serta mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang kerana memberikan sumbangan insentif ini kepada semua pelajar cemerlang. Kami amat hargai,” kata mereka yang kini melanjutkan pelajaran di University College Bestari di Terengganu dalam bidang kejururawatan.
Pasangan adik-beradik yang bersekolah di SMK Peramu Jaya, Pekan ini memperoleh 8A di dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 dan kini menerima biasiswa daripada Hospital Gleneagles.
Sementara itu, menurut penerima Anugerah Khas Murid Cemerlang Kebangsaan (Orang Asli), Jazlin a/p Jusoh, 19, dari suku Temuan turut melahirkan rasa terima kasih diatas penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri sebab berikan inisiatif ini kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang,” katanya yang ingin menjadi guru Geografi.
Pelajar SMK Sulaiman Bentong ini memperoleh (PNGK) Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 pada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) lepas dan kini melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.
Manakala bagi M. Ravinthiran, 18, insentif kecemerlangan ini dapat digunakan bagi menampung pembelian buku rujukan di pusat pengajian tinggi.
“Rasa gembiralah, boleh guna untuk support sikit beli barang, beli buku untuk semester kedua nanti. Terima kasih banyak-banyak bagi sumbangan seperti ini,” katanya yang memperoleh 9A pada SPM lepas.
Bekas pelajar SMK Sulaiman, Bentong ini kini melanjutkan pelajaran Asasi Perubatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kesemua pelajar cemerlang ini diraikan dalam program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) membabitkan 704 pelajar iaitu 578 orang pelajar SPM yang memperoleh semua A dan 106 orang pelajar STPM yang mendapat PNGK (Purata Nilai Gred Kumulatif) 4.0, serta 20 orang pelajar STAM yang mencapai Mumtaz Suffi pada peperiksaan 2023.
Kesemua pelajar tersebut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA