Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 24 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menghargai golongan muda yang cemerlang di dalam pendidikan melalui pemberian insentif kecemerlangan pendidikan sebanyak hampir RM1 juta.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, golongan muda merupakan generasi pelapis yang juga aset berharga kepada Negeri Pahang.
“…ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih bagaimana kita menghargai anak-anak kita, Kerajaan Negeri bagi sedikit insentif kepada mereka supaya mereka akan terus cemerlang di masa akan datang. Satu permulaan yang baik dan kita harap supaya pengakhiran pun baik.
“Mereka merupakan pelapis dan mereka ini adalah aset kepada negeri kita. Kita harus pupuk mereka, harus bagi semangat, harus hargai mereka.
“Kita tidak pinggirkan mana-mana pihak, mana-mana kaum termasuklah Orang Asli. Tadi boleh tengok Melayu ada, Cina ada, Orang Asli ada, India ada. Semua orang kita bagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2023 Negeri Pahang di Dewan Titiwangsa, Universiti Teknologi MARA Cawangan Raub.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; dan Pengarah Pendidikan Pahang, YH. Dato’ Amzan Abd Malek.
Beliau berkata melalui Anugerah Khas Murid Cemerlang Kebangsaan kategori Orang Asli yang diterima Jazlin a/p Jusoh membuktikan Kerajaan Negeri tak meminggirkan pendidikan dalam kalangan Orang Asli di negeri ini.
Menurut beliau, pemberian insentif ini juga sebagai tanda Kerajaan Negeri Pahang meraikan bukan sahaja pelajar yang cemerlang tetapi juga ibu bapa pelajar.
“Kerajaan Negeri Pahang meraikan pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat straight A sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berusaha sehingga cemerlang.
“Dan kita juga meraikan ibu bapa yang turut hadir kerana kita tahu kejayaan anak-anak ini bukan semata-mata kerana anak-anak, banyak faktor. Selain anak-anak tadi, ibu bapa, persekitaran sekolah, cikgu-cikgu, dan Kerajaan Negeri turut membantu,” katanya.
Beliau tidak menolak untuk meneruskan pemberian inisiatif pada tahun hadapan namun ia bergantung kepada kestabilan ekonomi, dan politik di negeri ini.
“Dan insyaAllah kalau kedudukan ekonomi kita baik, kestabilan politik ada, kita mempunyai masa untuk menumpukan kepada pentadbiran. Macam mana saya katakan tadi perlunya kestabilan politik, diiringi dengan kestabilan kewangan, yang mendapat manfaat ialah rakyat Negeri Pahang.
“Dan seperti mana yang sering saya katakan bahawa lebihan daripada hasil yang kita dapat ini akan kita kembalikan kepada rakyat Negeri Pahang. Ini adalah salah satu sahaja, banyak lagi yang lain-lain,” katanya.
Program ini merupakan kali kedua diadakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) membabitkan 704 pelajar iaitu 578 orang pelajar SPM yang memperoleh semua A dan 106 orang pelajar STPM yang mendapat PNGK (Purata Nilai Gred Kumulatif) 4.0, serta 20 orang pelajar STAM yang mencapai Mumtaz Suffi pada peperiksaan 2023.
Kesemua pelajar tersebut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut menerima penghargaan adalah 53 buah sekolah yang telah membuktikan kecemerlangan dalam peperiksaan awam serta menyumbang kepada kejayaan Negeri Pahang di peringkat nasional. -PAHANGMEDIA