Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 DISEMBER 2024 : Pahang dijangka menjadi hub ekonomi lebih dinamik dan mampu menarik pelaburan bernilai tinggi berdasarkan rekod pencapaian setakat ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata pelbagai rekod kejayaan negeri ini juga dapat menjadi batu loncatan kepada Pahang untuk terus berkembang setanding dengan negeri-negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.
“Pada 2 Julai 2024, pihak Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan laporan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Pahang 2023. Berdasarkan kenyataan oleh Kementerian Ekonomi, prestasi ekonomi negeri Pahang telah berkembang sebanyak 5.2 peratus iaitu negeri kedua tertinggi dengan nilai KDNK sebanyak RM64.9 bilion berbanding tahun 2022 sebanyak RM61.7 bilion.
“Negeri Pahang juga berada kedudukan kedua selepas Selangor iaitu antara empat negeri yang bertumbuh melebihi pertumbuhan nasional. Rekod pencapaian ini bukan sahaja mengatasi purata nasional namun ia juga meletakkan kedudukan negeri Pahang sebagai antara negeri yang sedang pesat membangun di negara ini.
“Selain itu, dari segi pelaburan, negeri Pahang juga mencatatkan RM16.44 bilion pelaburan komited pada 2023 dengan pelaburan asing menyumbang RM11.666 bilion. Tambahan itu, Pahang telah berjaya mencatatkan kutipan hasil RM1.306 bilion pada tahun 2023 sekali gus mengekalkan prestasi kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion bagi dua tahun berturut-turut,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek mega seperti projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) juga bakal melengkapkan rantaian logistik di negeri Pahang.
“Melalui pelaksanaan projek mega seperti projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) juga bakal melengkapkan rantaian logistik di negeri Pahang sekaligus menjadikan Pelabuhan Kuantan antara pelabuhan penting antarabangsa.
“Melalui rekod pencapaian ini, negeri Pahang dijangka akan menjadi hab ekonomi yang lebih dinamik, mampu menarik pelaburan bernilai tinggi dan menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

