Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 09 NOVEMBER 2024 : Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan menambah dua kawasan baharu sebagai kawasan fokus bagi membantu golongan asnaf di Pahang bermula tahun hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Hairi Hussain, dua kawasan yang telah dikenalpasti untuk dijalankan Produk Asnaf Zakat Pahang (PAZPA) adalah di Ulu Tembeling dan Pulau Tioman.

“Pada tahun hadapan kita akan melaksanakan pembangunan asnaf berfokus di mana kita akan mengenalpasti kawasan yang perlu untuk kita jadikan dan bangunkan asnaf di kawasan itu.
“Dan kita telah mengenalpasti dan menjalankan kajian dan ia sebenarnya merupakan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang mana kita akan fokuskan kepada dua tempat utama iaitu di Pulau Tioman dan Ulu Tembeling.
“Sebagai contoh di Ulu Tembeling, mengikut kajian yang telah kita lakukan, mereka mempunyai tanah yang luas yang kita boleh buat kebun ubi kayu, pisang, dan keledek bagi tujuan pemasaran kerepek dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah iKon Usahawan Asnaf 2024 di Hotel Grand Darul Makmur.
Menurut beliau lagi, selain tanaman, pihaknya juga akan memberikan fokus kepada program yang dapat menjana pendapatan kepada golongan asnaf di kawasan terlibat.
“Kita lihat di Tioman, kawasan tanah adalah terhad, maka program seperti bantuan bagi membuka kedai gunting rambut serta tanaman hidroponik akan diberikan kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, pihak MUIP melalui PAZPA juga akan menambah cawangan suq asnaf bagi mengumpul dan memasarkan produk daripada golongan asnaf di negeri ini.
“Kita ada satu suq asnaf di Pekan yang menjual produk-produk asnaf yang mana produk adalah daripada asnaf di sekitar daerah Pekan itu sendiri.
“Jadi tahun hadapan, kita akan mencari satu daerah lagi bagi tujuan ini. Kita akan lihat kawasan yang ada ramai asnaf dan mereka juga mampu mengeluarkan produk. Ini secara tidak langsung membantu golongan ini memasarkan produk mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

