Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 25 OKTOBER 2024 : Tujuh sekeluarga bersyukur dan terharu apabila menerima bantuan berjumlah RM39,221.24 daripada Petronas yang telah disampaikan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan di Kampung Lebak, Temerloh.
Menurut Puan Noriah Adjun, 42, dia yang mengalami penyakit paru-paru kronik kini menjaga tiga anaknya yang turut mengalami masalah kesihatan bersama suami Nik Husmadi Ismail.

Dua daripadanya, Nik Haznita Saffiya, 19 dan Nik Haziera Saffiya, 17, terlibat dalam kemalangan pada Februari lalu manakala seorang lagi, Nik Haziqa Saffiya, 13, disahkan menghidap ketumbuhan otak.
Puan Noriah berkata, kos perubatan serta pengangkutan bagi rawatan ketiga-tiga anaknya di UIAM Medical Centre, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh menelan belanja kira-kira RM2,000 setiap bulan.
“Alhamdulillah bersyukur sangat-sangat di atas bantuan ini untuk rawatan perubatan anak saya kerana tempat rawatan yang jauh di Kuantan, jadi saya memang memerlukan belanja yang besar,” katanya selepas menerima sumbangan berjumlah RM39,221.24 daripada Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) menerusi Dana Asy-Syakirin di rumahnya, di Kampung Lebak, Temerloh.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Encik Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Pada 7 Februari lalu, Nik Haznita dan Nik Haziera terbabit dalam kemalangan dengan lori ketika menaiki motosikal.
Nik Haznita yang membonceng motosikal ditunggang adiknya, parah kaki kanan, sementara Nik Haziera mengalami darah beku di paru-paru, selain patah bahu, tulang pelvis dan pinggang serta banyak saraf yang hancur.
Nasib malang keluarga ini pernah mendapat liputan media dan turut menerima perhatian dari Kerajaan Pahang. -PAHANGMEDIA

