Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 SEPTEMBER 2024 : Sebanyak RM4.104 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 25 projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di seluruh Pahang tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri PETRA, YB. Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir, merangkumi projek sambungan dan juga projek baharu di negeri ini.
“Projek di bawah agensi PETRA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk di Pahang ini kita ada 25 on going projek, yang mana 13 itu merangkumi projek sambungan dan 12 itu merangkumi projek baru yang kita mulakan kerjanya ataupun kerja awalan pada tahun ini.
“Jadi 25 projek itu merangkumi keseluruhan Negeri Pahang dengan komitmen kita sebanyak RM4.104 billion sebab dia berperingkat sebab ada projek yang bila sebut sambungan mungkin dah di penghujungnya, ada yang sebenarnya di pertengahan, ataupun ada yang diawalan.
“Sebab kalau kita tengok mana-mana projek itu, dia akan mengambil masa. Ada yang mengambil masa tiga tahun ataupun empat tahun untuk disempurnakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Pahang di Grand Darul Makmur, Kuantan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB. Senator Puan Fuziah Salleh; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Pahang, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah; dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang, YBrs. Ir. Mohd Sha’ri Mohammed.
Mengulas mengenai projek tebatan banjir di Sungai Lembing dengan kos sebanyak RM126 juta, ia telah bermula awal tahun ini dan dijangka siap pada awal 2027.
“Jadi untuk projek Sungai Lembing, itu merupakan satu projek baru yang mana kos keseluruhannya tadi RM126 juta. Jadi dah ada nilai, ada bekerja awalan bermula pada tahun ini.
“Cuma jangkaan kita paling awal jangkaan penghujung tahun 2026 iaitu bagi saya lebih selamat, awal tahun 2027 dijangka siap. Maksudnya JPS telah mengangkat projek ini sebagai satu projek baru bermula pada tahun ini jadi kerja-kerja tu termasuk untuk kajian dan untuk designing,” katanya.-PAHANGMEDIA