Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
KUANTAN, 09 SEPTEMBER 2024 : Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) berhasrat untuk menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang dapat membantu pelajar terutamanya di aliran agama secara tidak formal untuk menyambung pengajian.
Naib Canselor UniPSAS, YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata perancangan ini selari dengan cogan kata UniPSAS iaitu universiti untuk semua orang.
“Pada peringkat akan datang ini kita harap kita dapat menawarkan open and distance learning, di mana pelajar-pelajar mungkin tidak perlu sepenuh masa untuk berada di kampus, mereka belajar secara online.

“Di samping itu juga kita ingin membantu anak-anak pelajar terutamanya yang berada di maahad tahfiz, yang tidak ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), yang tidak ada kelulusan, untuk belajar, yang tidak ada peluang secara formal untuk belajar di IPT (Institut Pengajian Tinggi), kalau boleh nak bantu mereka untuk belajar di UniPSAS dengan melalui APEL iaitu Accreditation of Prior Experiential Learning.
“Dengan cara begini maknanya seolah-olah selepas ini tidak ada lagi orang yang tidak berpeluang untuk masuk universiti. Jadi kita punya cogan kata UniPsas adalah universiti untuk semua orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Indera Nazri Abu Bakar; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen.

Beliau turut melahirkan hasrat untuk memperkasakan bidang penyelidikan di UniPSAS terutamanya melibatkan penyelidikan agama Islam.
Beliau turut melahirkan rasa komited pihak UniPSAS dalam menjunjung titah Ke Bawah Duli Tuanku bagi memastikan ia menjadi institusi Islam yang terbaik di antara yang terbaik di negara dan antarabangsa.
“Sepanjang 28 tahun ni banyak kejayaan yang telah UniPSAS capai dan kita sangat berterima kasih kepada Ke Bawah Duli Paduka Baginda Tuanku, Ke Bawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota, Kerajaan Negeri dan kepada semua yang membantu UniPSAS untuk berada pada tahap sekarang ini,” katanya.
Menurut beliau seramai 420 pelajar telah diraikan dalam majlis konvokesyen hari ini dengan keseluruhan 6,000 graduan telah berjaya dilahirkan di UniPSAS sejak 28 tahun lalu.-PAHANGMEDIA

