Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 SEPTEMBER 2024 : Gambang Halal Park (GHP) bakal menjadi perintis kepada pengkhususan hub halal di negara ini dengan memfokuskan kepada industri halal secara terperinci.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pembangunan Gambang Halal Park ini turut meliputi pelabuhan logisitik halal.
“Kita tahu sekarang ni masyarakat sangat ingin mengetahui produk tu datang daripada mana, buat daripada mana, proses dia macam mana.
“Jadi bila dah ada badan ataupun satu industri, ia memudahkan lagi di mana masyarakat tidak perlu mempertikaikan berbanding dengan sekarang ni tidak ada satu badan pun yang menentukan secara khusus berkenaan perkara ini.
“Badan (berkaitan) tu ada tapi secara khususnya tak ada lagi dan yang ini lagi baik daripada yang sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tapak dan Mesyuarat Penyelarasan Gambang Halal Park di Gambang hari ini.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin.
Menurut beliau, GHP yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh setahun ini dapat memberi kemudahan berkenaan produk yang diimport ke negara ini dan taraf halal produk berkenaan.
“Hari ini kita membincangkan banyak perkara dan alhamdulillah saya diberi taklimat kerana status pembangunan Gambang Halal Park dan juga cadangan terkini pembangunan Gambang Halal Park.
“Dan yang menariknya ialah pembentangan oleh Kuantan Port Konsertium berkaitan halal logistik port di mana ia dibuat secara menyeluruh sampai ke port pun produk-produk apa yang kita import daripada luar negara, di situ lagi kita dah kenal pasti produk tersebut, keperluan halal atau tidak. Jadi nanti ia memudahkan urusan kita di Pahang,” katanya.
Beliau turut meminta proses birokrasi dihentikan oleh pihak berwajib bagi pembangunan taman halal ini memandangkan ia adalah industri yang bermanfaat untuk kemajuan Pahang.
“Saya memberi penekanan hari ni agar taman industri halal ni dipercepatkan kerana ada berlaku sedikit kelewatan dan saya telah meminta supaya proses birokrasi dipotonglah kerana ini adalah satu industri yang sangat baik untuk negeri dan juga untuk negara kita,” katanya.-PAHANGMEDIA

