Oleh : Ain Nadhirah Basha
PEKAN, 30 OGOS 2024 : Sumbangan Kit Robot Tracer disifatkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar di daerah ini untuk lebih berdaya saing dalam meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut guru dari SMK Tengku Abdullah, Encik Ibrahim Abdul Jalil, sumbangan kit ini juga dapat memberi peluang untuk lebih maju dalam bidang robotik.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan Dato’ Nizar kerana menaja robot tracer ini.
“Ini akan memberi inspirasi kepada kami untuk lebih maju dalam bidang robotik ini dan SMK Tengku Abdullah baru sahaja balik daripada pertandingan peringkat kebangsaan melibatkan robotik MYRC di Alor Setar, Kedah.
“Diharap dengan robot baru ini, kami akan dapat peluang yang lebih cerah pada pertandingan robotik di UMPSA tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, menurut guru SBPI Tun Abdul Razak, Puan Khairiah Hamzah, sumbangan kit robot tracer ini amat dinantikan oleh kelab robotik sekolah.
“Kami memang menanti-nantikan untuk dapat robot tracer ini, boleh kami hantar lebih banyak team dan kami memang harap sangat dapat robot ini kerana kami register dua team tetapi kami hanya ada satu robot sahaja buat masa ini.
“Jadi lepas ini boleh kami hantar dua-dua team ke pertandingan di UMPSA dalam masa terdekat ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada Yayasan Pahang kerana menaja barangan untuk team robotik Pekan supaya kami dapat sama-sama bangun dan berjaya untuk meningkatkan prestasi kelab robotik di Pekan,” katanya.
Sebanyak 14 kit robot tracer diagihkan kepada 12 buah sekolah di daerah Pekan dan bakinya akan diserahkan kepada PPD Pekan.
Majlis penyerahan kit ini diserahkan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib di Pejabat Pendidikan Daerah Pekan.-PAHANGMEDIA

