Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
KUANTAN, 28 MEI 2024: Pemenang Karya Anak Pahang teruja apabila hasil karya mereka berjaya mendapat pengiktirafan dalam pertandingan yang bertujuan menonjolkan bakat penulisan dan seni visual rakyat negeri Pahang.
Pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Mohammad Harris Mohd Noor, 20, melahirkan rasa teruja apabila karyanya terpilih sebagai pemenang dalam pertandingan Karya Anak Pahang.

Pertandingan yang dianjurkan untuk menonjolkan bakat penulisan dan seni visual ini telah menarik minat ramai peserta dari seluruh negeri Pahang.
Mohammad Harris berkata dia dan rakan-rakan tidak menyangka bahawa penyertaan mereka atas saranan pensyarah boleh membawa kepada kemenangan.
“Perasaan macam tak sangka sebab kita orang sertai sebab suka-suka tapi alhamdulillah dapat terpilih sebagai pemenang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Huzairi Haji Ahmad, 48, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Felda Mempaga 2 dan pengguna tegar aplikasi Facebook, turut berkongsi pengalaman menyertai pertandingan Karya Anak Pahang.
“Pada mulanya, saya ternampak satu pertandingan untuk menonjolkan bakat dalam penulisan foto atau video. Saya pun sertai kerana minat menulis dan tak sangka karya saya mendapat perhatian,” katanya.
Beliau menghantar sebuah penulisan yang disertakan gambar kenangan bersama Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertemakan “Raja dan Rakyat”.

Dalam pada itu, Thang Eng Hong, 31, yang juga menyertai pertandingan Karya Anak Pahang melalui hantaran Facebooknya, turut meluahkan rasa gembira.
“Saya rasa gembira kerana ini bukan sahaja kejayaan, tetapi juga memberikan manfaat kepada semua yang memenangi pertandingan ini,” katanya selepas menerima hadiah Karya Anak Pahang Siri 1 di Pejabat Unit Komunikasi Strategik Negeri Pahang, hari ini.
Pertandingan Karya Anak Pahang ini dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat tempatan menonjolkan bakat dalam penulisan dan seni visual, dengan tema yang mencerminkan kebudayaan dan sejarah negeri Pahang.
Pertandingan ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mempamerkan bakat mereka, tetapi juga untuk mengangkat dan memperkenalkan warisan budaya Pahang kepada generasi muda dan masyarakat umum. -PAHANGMEDIA

