Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 MEI 2024 : Penduduk di Negeri Pahang khususnya Daerah Kuantan perlu memanfaatkan peluang penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di negeri ini dengan menghadiri majlis ilmu itu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, paling mengujakan apabila kebanyakan peserta MTHQK kali ini disertai golongan belia dan anak muda dari serta Malaysia.
“Saya gembira sebab kebanyakan atau majoriti peserta tilawah dan hafazan kali ini adalah di kalangan orang muda yang cukup berkebolehan dan ini menggambarkan minat dan kesedaran orang muda terhadap Al-Quran termasuk juga hafazan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang bagi mendengar alunan ayat suci Al-Quran pada MTHQK yang berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei dan akan berakhir pada 28 Mei di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.

Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengarah Jabatan Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz dan Timbalan Pengarah JAIP, YH. Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zin.
Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini disertai seramai 110 peserta terdiri daripada 29 peserta tilawah (15 qariah dan 14 qari) dan 81 peserta hafazan bagi tiga kategori.
Kesemua peserta berumur antara 14 hingga 25 tahun yang turut disertai dua pasangan adik beradik bagi kategori hafazan Al-Quran dari negeri Kedah dan Pahang.
Pada majlis itu juga turut diadakan gerai pameran kepada orang ramai antaranya gerai jualan produk IKS dan terdapat juga pameran daripada agensi berkaitan seperti YaPEIM.
YB. Tuan Fadzli turut menyeru orang ramai khususnya penduduk Kuantan agar dapat hadir memeriahkan majlis penutup MTHQK pada malam ini.
“Saya harap orang Kuantan dan kawasan sekitar mengambil kesempatan daripada penganjuran majlis tilawah dan hafazan Al-Quran kali ini sebab jarang-jarang diadakan di Negeri Pahang dan ambil kesempatan Pahang sebagai tuan rumah sebab ramai daripada luar turut hadir dan berkampung,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyaksikan MTHQK ini boleh menyaksikan siaran langsung menerusi saluran TV1 RTM, TV Alhijrah, stesen radio RTM, radio IKIM FM, Web TV JAKIM (www.jakim.tv) dan akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM. – PAHANGMEDIA

