KUANTAN, 22 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak Dalam Sayur Dan Buah Negeri Pahang bagi mengawal penggunaan racun makhluk perosak dalam sektor perladangan sayur dan buah di negeri ini.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Tuan Ir. Razali bin Kassim, EXCO Kerja Raya, Pengangkutan Dan Kesihatan Negeri Pahang bersama lapan ahli jawatankuasa iaitu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), Ketua Polis Pahang, Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang, Pegawai Daerah Cameron Highlands, YDP Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pengarah FAMA Negeri Pahang.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk menyelaras dan mengawal selia aktiviti-aktiviti pemantauan penggunaan racun makhluk perosak dan memastikan kawalan penggunaan racun makhluk perosak bermula dari ladang sehingga di pasaran.
“Selain itu, ia juga bertujuan melaksanakan program latihan dalam kalangan pengusaha dan pengendali racun makhluk perosak, meningkatkan kerjasama di antara agensi yang terlibat di sepanjang rantaian bekalan bermula dari ladang hingga ke pasaran dan menyelaras dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut fungsi agensi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru beliau berharap dengan penubuhan jawatankuasa ini, Kerajaan Negeri dapat memastikan sayur dan buah yang berada di pasaran selamat dimakan dan mematuhi perundangan. – PAHANGMEDIA

