Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 MEI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan sumbangan awal sebanyak RM8,000 kepada keluarga allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang merupakan mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan ini akan diserahkan kepada keluarga mangsa di Kuantan malam ini.
“Bantuan ini kita akan beri kepada keluarga mangsa, terpulanglah kepada keluarga untuk guna bantuan awalan ini.
“Kita akan cuba serahkan (bantuan) malam ini. Pegawai saya akan pergi ke rumah mangsa. Bantuan RM3,000 adalah bantuan peribadi saya, manakala Kerajaan Negeri akan bagi RM5,000,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga akan memberikan bantuan mengikut keperluan kepada keluarga mangsa kerana ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Negeri.
“Seperti biasa, Kerajaan Negeri akan membantu di mana perlu dan ini menjadi tanggungjawab kita untuk kita bantu kerana ini satu kejadian yang memeranjatkan kita semua, satu kesedihan untuk rakyat Negeri Pahang juga,” katanya.
Beliau turut melahirkan kekesalan dengan insiden yang berlaku selain menyatakan sokongan penuh kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak polis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq, 24, yang maut dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua anggota polis hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dengan penubuhan Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia Negeri Pahang ini dapat menjadikan pertubuhan kontraktor Negeri Pahang lebih berdaya saing dan maju.
“Penubuhan ini bagi memudahkan urusan apa jua berkaitan dengan urusan kontraktor dan juga ia memudahkan Kerajaan Negeri dan mereka (kontraktor) untuk sama-sama berganding bahu.
“Saya harap dengan penubuhan pejabat di sini akan membolehkan Persatuan Kontraktor berdaya saing dan berdaya maju lagi dan komitmen dari Negeri Pahang, insyaAllah kita akan bantu setakat mana yang boleh dan diharap mereka juga boleh membantu Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputra Malaysia Negeri Pahang di Permatang Permai yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir. Razali Kassim. -PAHANGMEDIA

