Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 MEI 2024 : Gangguan bekalan air di kawasan Mahkota Valley, Indera Mahkota yang menjejaskan 250 akaun pengguna telah pulih sepenuhnya pada 1.30 pagi hari ini.
Dalam satu kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari, kerja pemulihan bekalan mengambil masa berikutan kerja selenggara yang kompleks.
“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ingin memaklumkan status kerja siap dan pemulihan bekalan bagi gangguan bekalan tidak berjadual kawasan Mahkota Valley, Indera Mahkota Daerah Kuantan.
“Kerja-kerja baik pulih melibatkan beberapa siri gangguan secara berturutan, kerja-kerja yang berisiko tinggi, kompleks dan mengambil masa untuk disiapkan berikutan kerja selenggara melibatkan baik pulih paip bocor dalam
sleeve jacking yang merentasi jalan pintasan (bypass) sepanjang 70 meter dengan kedalamanan 12 meter.
“PAIP bertungkus lumus menyelesaikan hal ini dan kerja selenggara telah siap!sepenuhnya pada 15 Mei 2024 jam 1.30 pagi. Bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas juga telah pulih sepenuhnya. Insiden ini telah menjejaskan 250 akaun pengguna,” katanya.
Menurut beliau, PAIP telah menyediakan agihan bekalan air menerusi agihan lori tangki air dan tangki simpanan statik di kawasan terjejas.
“…dan pada masa yang sama, PAIP turut atur gerak bekalan alternatif ke kawasan berkenaan
menerusi agihan Lori Tangki Air dan meletakkan Tangki Simpanan Statik di lokasi terjejas sepanjang gangguan tidak berjadual ini berlaku.
“PAIP mengucapkan terima kasih atas kesabaran pengguna dan segala kesulitan amatlah dikesali.
“Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan bekalan air boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999,” katanya. -PAHANGMEDIA

