Oleh : Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim & Fansurina Abdullah
KUANTAN, 15 MEI 2024 : Pahang mencatatkan prestasi ekonomi yang baik apabila berjaya memperoleh hasil melebihi RM1 bilion selama dua tahun berturut-turut.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini merupakan pencapaian ekonomi yang cukup baik dan lebihan daripada pendapatan atau hasilnya akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk sumbangan seperti ini.
“Alhamdulillah, ini adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang di bawah teraju YAB Menteri Besar Pahang dalam membantu rakyat yang memerlukan di kalangan penerima sumbangan hari ini.
“Ini menggambarkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Negeri Pahang khususnya Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam membantu memenuhi keperluan dan hasrat rakyat,” katanya selepas menerima cek sumbangan berjumlah RM48,000 bagi Kawasan Raub.
Dalam pada itu beliau turut mendoakan agar Kerajaan Negeri Pahang ini terus mencatatkan prestasi dan pencapaian yang baik khususnya dari segi ekonomi dan hasil serta pendapatan tersebut dinikmati dan dimanfaatkan untuk rakyat sama ada di kalangan individu, persatuan agensi kerajaan, masyarakat kampung dan sebagainya.

Sementara itu, seorang penerima Encik Mohd Azerul Mohamed Tah, 39, berkata, sumbangan berjumlah RM10,000 yang diterima adalah bertujuan mengembangkan Perniagaan Kopi Sengget di Bandar Pekan.
“Kedai Kopi Sengget ini dah beroperasi lebih kurang dua tahun sudah. Jadi, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tokwan kerana sudi memberi bantuan sumbangan kewangan untuk mengembangkan lagi perniagaan kopi ini,” katanya.
Manakala seorang lagi penerima, Puan Noraini Mohamad Nor, 52, turut menyatakan rasa syukur terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu diri dan anaknya.

“Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang sebab bagi bantuan untuk anak OKU saya ni,” kata Puan Noraini yang merupakan seorang suri rumah.
Menurutnya, dia juga menerima sumbangan kewangan sebanyak RM 5,000 bagi pembelian cermin mata untuk dirinya dan kos sara hidup anaknya yang berumur 12 tahun kerana mengalami OKU Percakapan.
Seramai 20 penerima cek menerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM1.22 juta yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang. – PAHANGMEDIA

