Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 19 MAC 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa Kerajaan Pahang berjaya menurunkan kadar miskin tegar di negeri itu.
Titah baginda, ini membuktikan kerajaan baginda begitu mengambil berat terhadap masalah kemiskinan di Pahang.
“Kerajaan Negeri memang ambil berat tentang masalah kemiskinan di Negeri Pahang ini.
“Satu ketika dahulu, bilangan miskin tegar lebih kurang 5,000 kemudian turun dikurangkan sehingga 3,000 dan pada hari ini saya dimaklum kurang daripada 2,000.
“Dan ini sedikit sebanyak satu program yang nampak berkesan, saya harap program ini dapat diteruskan, dapat ditingkatkan, dapat dipercepatkan untuk mengeluarkan mereka-mereka yang berada dalam kemiskinan tegar daripada belenggu kemiskinan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RU’RASA) dan Rumah Kurnia Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Sungai Buloh, Mentakab dan Kampung Bachap, Temerloh, petang tadi.
Mengiringi baginda ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, barisan Exco Kerajaan Pahang, pemimpin setempat dan ketua-ketua jabatan.
Pada majlis itu, seramai 12 penerima dari Mukim Semantan, Mukim Kerdau, Mukim Jenderak dan Mukim Mentakab telah menerima kunci rumah RU’RASA di Kampung Sungai Buloh.
Manakala tiga lagi penerima dari Mukim Bangau telah menerima kunci rumah RU’RASA (dua penerima) dan Rumah Kurnia Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Kampung Bachap.
Dalam pada itu, baginda menitahkan agar rakyat yang masih mempunyai kesihatan dan berkeupayaan untuk bekerja agar dapat berusaha memperbaiki kehidupan dengan mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.
“Itu sebab saya harap setiap rakyat yang bertenaga harus mendapatkan pekerjaan tak kira kerja apa sekali pun, pekerjaan halal, jangan berada dalam sifat malas, zon selesa dan ini tidak dapat menjamin keluarga kita sendiri.
“Saya menasihatkan carilah peluang pekerjaan, saya percaya mesti ada kerja di kawasan ini atau pun di bandar Temerloh dan Mentakab,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

