Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
RAUB, 7 MAC 2024 : Pembinaan jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi kemudahan kepada orang ramai yang berulang alik ke Pantai Timur perlu dimanfaat sebaik mungkin termasuk menjadi pengguna berhemah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia berikutan keselesaan jalan yang disediakan memungkinkan kadar kemalangan akan meningkat jika langkah berhati-hati tidak diambil.
“Kita dapati kemalangan yang berlaku masih di tahap tidak selesa bagi kita, jadi masih ada ruang untuk kita perbaiki. Saya menyeru pemandu jalan raya berhati-hati, jangan pula bila jalan disediakan baik dan lurus ini mereka ‘speed’ (memecut) ikut suka hati.
“Kebersihan juga mesti dijaga. Kerajaan Negeri telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar menyediakan hentian rehat dan rawat (RnR) di laluan berkenaan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Pembinaan hentian tersebut juga bertujuan untuk memelihara aspek kebersihan di laluan itu supaya budaya membuang sampah dari kenderaan tidak terus berlaku,” katanya ketika ditemui media pada selepas Majlis Perasmian Pembukaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5A: Raub ByPass, di sini.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi , YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaakob serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu beliau turut menyampaikan harapan Kerajaan Negeri Pahang agar pembinaan laluan Pakej 6: Karak – Simpang Pelangai dengan kos RM750 juta dapat diluluskan.
“Saya difahamkan Kementerian Kerja Raya juga mempunyai perancangan untuk menyambung LTU ini sehingga ke selatan yang dinamakan Lingkaran Tengah Selatan (LTS).
“Untuk itu, adalah penting agar laluan LTU ini dibina sehingga ke Simpang Pelangai agar lebih ramai pengguna dapat memanfaatkan laluan ini untuk mempermudahkan urusan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi kerjasama yang baik dalam pembinaan LTU yang bermula sejak 2019.
Beliau juga yakin apabila kesemua enam pakej pembinaan ini siap pada tahun 2026, ia akan memberi banyak kelebihan kepada Negeri Pahang terutamanya melibatkan daerah Bentong, Raub dan Lipis. -PAHANGMEDIA

