Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
RAUB, 7 MAC 2024 : Pembukaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5A: Raub Bypass sepanjang 6.4 kilometer bermula 12 tengah malam ini dilihat melancarkan lagi perjalanan pengguna jalan yang berulang alik ke Pantai Timur.
Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pengguna boleh menggunakan jalan pintas ini tanpa melalui bandar Bentong dan bandar Raub yang sesak terutamanya ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti umum.
“Pembukaan jajaran ini akan memberi manfaat kepada pengguna jalan raya dengan memendekkan masa perjalanan dari Lebuh raya Pantai Timur ke Kuala Lipis, tanpa perlu melalui Bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 km.
“Kerja – kerja pembinaan Seksyen 5A ini bermula pada 13 Jun 2019 dengan melibatkan kos berjumlah RM 252.5 juta dengan skop kerja utama ialah membina jalan baharu empat lorong dua hala (dual carriageway) dengan reka bentuk menepati piawaian JKR R5. Baki sepanjang 2.6 kilometer dijadualkan siap pada bulan Jun nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada selepas Majlis Perasmian Pembukaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5A: Raub ByPass, di sini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaakob serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
Sementara itu YB Dato’ Sri Alexander berkata, Kerajaan Persekutuan turut komited menyambung projek LTU melalui Simpang Pelangai- Kuala Pilah melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan tahun 2024 selari dengan matlamat meningkatkan kecekapan perhubungan rangkaian jalan raya di negara ini.
“Sudah pasti kita komited kerana kewujudan LTU membantu rakyat menjimatkan masa, kos bahan api serta mengurangkan kesesakan jalanraya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang mempertimbangkan untuk membina Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) di laluan berkenaan bagi keselesaan pengguna.
Projek LTU yang dahulunya dikenali sebagai Centre Spine Road (CSR) merupakan sebuah projek Kementerian Kerja Raya membina jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala sepanjang hampir 299.4 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur, Bentong dengan nilai RM7.3 bilion yang dijadualkan siap pada tahun 2026. -PAHANGMEDIA

