Oleh: Fairus Mohd & Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Radin Mohd Norhilmi Nordin
TEMERLOH, 5 MAC 2024 : Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang diketuai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah singgah ke Balai Polis Kuala Krau untuk bertemu balu, pesara polis wanita serta asnaf di sini.
Ketibaan baginda pada pukul 4 petang bukan hanya membawa kegembiraan tetapi juga satu pengalaman berharga kepada 10 orang balu serta pesara anggota polis wanita di Temerloh apabila menerima kurniaan sumbangan yang amat bermakna daripada baginda.

Bagi Puan Perminah Mohammad, 65, yang merupakan salah seorang bekas polis petugas am yang menerima sumbangan menganggap ia sesuatu yang mengharukan.
“Saya sungguh gembira dan terharu sebab dapat sumbangan ini dari tuanku sendiri. Sumbangan ini seperti suatu penghargaan terhadap pengorbanan kami semasa berkhidmat dalam pasukan polis,” katanya.
Sementara itu, balu kepada arwah Koperal Zahari Ramli yang meninggal 14 tahun lalu akibat kanser otak, Puan Jamaliah Abdul Rahman, 61, juga berkongsi perasaannya yang menerima sumbangan bagi pihak arwah suaminya.

“Rasa gembira dan bersyukur sebab sebelum ini tidak pernah dapat lagi sumbangan seperti ini.
“Saya tak sangka dapat sumbangan ini sebab arwah suami sudah lama meninggal dan bila dapat sumbangan ini rasa terharu sebab pengorbanan arwah masih diingati,” katanya.
Turut berkongsi rasa yang sama ialah pesara polis, Puan Zainiah Mohammad Zain, 66, yang menyifatkan sumbangan ini begitu bermakna baginya.

“Ia merupakan pengiktirafan yang membanggakan terhadap pengorbanan dan perjuangan saya selama 37 tahun berkhidmat,” katanya.
Ternyata dengan sumbangan ini, KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah membawa keceriaan kepada mereka yang telah mengabdikan diri untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di negeri Pahang yang tercinta ini.
Kurniaan ini turut membuktikan keprihatinan baginda terhadap nasib pesara polis selain mengukuhkan lagi hubungan yang mesra antara baginda, pihak berkuasa dan rakyat setempat.
Sebelum itu, baginda juga sempat memberikan sumbangan kepada beberapa orang asnaf di Kuala Krau sebelum meneruskan ekspedisi ke Kampung Gintong, Jerantut. -PAHANGMEDIA

