Oleh : Fairus Mohd
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 27 FEBRUARI 2024 : Jelajah Mahkota Mudik Sungai Pahang yang akan berlangsung dari 3 hingga 6 Mac ini menyaksikan sebanyak 18 buah bot diketuai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menelusuri Sungai Pahang sejauh hampir 400 kilometer dari daerah Pekan ke Lipis.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, baginda dijangka akan menaiki bot kajang yang pernah menjadi pengangkutan awam penduduk negeri ini yang menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan, suatu ketika dahulu.
Rakyat di negeri Pahang juga berpeluang untuk melihat dan bertemu baginda dari dekat pada acara julung kali diadakan bagi negeri ini melibatkan enam daerah iaitu Pekan, Maran, Temerloh, Bera, Jerantut dan Lipis.
“Pelbagai acara menarik disediakan sepanjang empat hari tiga malam program terbabit berlangsung dan apa yang lebih menarik, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah akan bersemayam secara berkhemah di beberapa lokasi sambil menikmati keindahan alam sekitar di negeri ini selain bercemar duli mendekati dan beramah mesra bersama rakyat setempat.
“Saya mendapat perkenan tuanku di mana orang ramai berpelung untuk berkhemah bersama tuanku pada 3 Mac bertempat di tapak Rumah Warisan Chenor, Maran, dan pada 5 Mac bertempat di Kampung Gintong, Jerantut.
“Mereka yang berminat untuk menyertai perkhemahan ini boleh mendaftar dengan Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di daerah terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkenaan acara berkenaan di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tengku Hassanal dijangka akan singgah di lebih 20 buah lokasi untuk menyertai pelbagai aktiviti bersama yang disediakan selain rakyat setempat berpeluang untuk melambai di sepanjang tebing Sungai Pahang di Kampung Salong, Kampung Mambang, Kampung Mempelas dan Kuala Chini pada jelajah hari pertama.
Pada hari kedua orang ramai berpeluang melihat barisan bot jelajah dan melambai di sepanjang tebing sungai di Kampung Nyak Chenor SK Serkam, Kampung Kuala Wau, Lubuk Paku, Kampung Pejing dan seterusnya hari ketiga jelajah akan menelusuri sepanjang tebing sungai di Kampung Telok Ira, Kampung Loyang, Pulau Pasir Mandi, Kampung Durian Hijau, Sungai Jerangang sebelum menelusuri Sungai Pahang untuk melambai rakyat di Jerantut Feri pada hari hari terakhir iaitu 6 Mac.
Seramai 150 orang peserta dijangka mengiringi jelajah tersebut yang turut melibatkan penyampaian bantuan kepada asnaf di setiap daerah yang disinggahi selain acara tradisional setempat seperti persembahan silat dan gendang, kenduri rakyat, sukan rakyat, mengemping padi, memedak ikan, wayang pacak dan pelbagai acara lain yang diaturkan. -PAHANGMEDIA