Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 19 JANUARI 2024 : Program Ziarah Kasih merupakan satu kejutan yang menyenangkan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang.
Menurut YH. Dato’ Pang Tsu Ming, 63, yang merupakan ADUN Semambu selama dua penggal bermula 2004 sehingga 2013, program ini menunjukkan keperihatinan Kerajaan Pahang.
“Program hari ini saya rasa pertama kali diadakan secara rasmi. Yang lain, kita hanya jumpa dekat luar, sembang-sembang sekejap.
“Dan saya sebagai bekas wakil rakyat saya rasa program seperti ini amat baik. Walaupun kita orang lama (pernah berkhidmat), orang di Dewan Negeri, rakan yang pernah berkhidmat di dalam politik bersama-sama tetap tidak lupakan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Ahmad di sini ketika Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang bersama Yang DiPertua Dewan Negeri, YB. Dato’ Sri Mohd Shakar Shamsuddin.
Beliau turut berkongsi kegembiraan dengan program seperti ini yang disifatkan dapat mengimbau zaman dahulu disamping berkongsi pendapat berkenaan banyak perkara.
“Mereka masih ingat dan datang menziarahi kita walaupun hanya sekejap, hanya satu jam tapi banyak benda yang dapat kita kongsi. Cerita lama, kegembiraan, dapat mengembalikan kenangan dulu-dulu.
“Walaupun ini (ziarah kasih) hanya sekejap, rasa gembira, rasa jiwa ini macam muda kembali dapat jumpa rakan-rakan lama,” katanya. -PAHANGMEDIA