Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 21 DISEMBER 2023 : Sebanyak lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang menerima anugerah peringkat kebangsaan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia yang dinilai menerusi Pelaksanaan Program Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets 2.0).
YB Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang yang menjalankan tugas-tugas Exco Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, lima PBT tersebut telah dinilai daripada 153 PBT lain seluruh Malaysia.
“Empat PBT Negeri Pahang telah tersenarai di antara 12 penerima Anugerah Bandar Paling Mampan Tahun 2023 iaitu Majlis Bandaraya Kuantan, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Daerah Maran dan Majlis Daerah Lipis.

“Manakala Majlis Daerah Jerantut telah menerima Anugerah Penghargaan ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs) 11 kategori Majlis Daerah kerana memperoleh skor tertinggi bagi 15 penunjuk prestasi SDGs MURNInets daripada 92 PBT bertaraf majlis daerah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, PLANMalaysia Pahang pula merupakan ‘Top 3’ bagi penerima Anugerah Penghargaan Pusat Operasi MURNInets Negeri (POMN).
Jelasnya, pelaksanaan program bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan skor kemampanan bandar di Negeri Pahang daripada 84.61 peratus pada 2022 kepada 91.09 peratus pada tahun ini.
Kriteria penilaian PBT dalam kemampanan bandar melibatkan enam dimensi dengan 39 penunjuk indeks kemampanan yang merangkumi ekonomi berdaya saing, kualiti persekitaran mampan, komuniti sejahtera, guna tanah dan sumber asli optimum, infrastruktur dan pengangkutan efisien serta urus tadbir efektif. – PAHANGMEDIA

