Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 06 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang menjangkakan 1,800 ladang akan memperoleh sijil MyGAP dan myOrganic di negeri ini pada tahun hadapan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata setakat ini sebanyak 275 ladang sahaja di negeri ini telah memperoleh sijil berkenaan.
“Kerajaan juga memberi penekanan kepada pengekalan amalan pertanian yang baik yang menzahirkan lebih banyak ladang dan kebun petani memperolehi sijil myGAP dan myOrganic untuk pengeluaran bahan makanan yang lebih berkualiti dan selamat untuk dimakan.
“Jabatan Pertanian percaya lebih banyak ladang tanaman akan mendapat pengiktirafan apabila tanah tanah tol perlu terlebih dahulu mendapat persijilan myGAP atau myOrganic bagi diluluskan penyewaan tanah.
“Sehingga akhir tahun 2023, terdapat 275 ladang dengan keluasan 489.05 hektar telah memperolehi sijil MyGAP dan myOrganic dan dijangkakan angka ini akan melonjak kepada 1,800 ladang menjelang akhir tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 450 latihan dirancang untuk dilaksanakan pada tahun hadapan melibatkan 9,000 petani di seluruh negeri ini bertujuan menambah pengetahuan dan kemahiran mereka.
“Bagi meningkatkan keupayaan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan, Jabatan secara berterusan memberi perkhidmatan pengembangan dan pembangunan pertanian melalui pemindahan teknologi kepada para petani dan pengusaha yang terlibat dengan bidang tanaman.
“Pihak Jabatan berterusan menyediakan latihan seperti pengurusan tanaman sayur sayuran, tanaman kontan, pemprosesan makanan dan sebagainya bagi mengalakkan lebih ramai menceburi bidang pertanian khususnya golong belia,” katanya.
Menjawab berkenaan cadangan mewujudkan Lembaga Durian Pahang, beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang telah menggerakkan usaha menubuhkan lembaga tersebut.
“Berkenaan Cadangan agar Kerajaan Negeri mewujudkan Lembaga Durian khusus untuk pembangunan aktiviti Durian di Negeri Pahang, antara yang dicadangkan adalah pelaksanaan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan buah Durian.
“Kerajaan Negeri melalui BPEN dan Jabatan Pertanian telah menggerakkan usaha bagi menubuhkan Lembaga Durian Pahang. Cadangan penubuhan Lembaga Durian Pahang telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang Ke-44/2023 pada 22 November 2023.
“Mesyuarat telah menimbang kertas berkenaan dan mengambil keputusan menangguhkan cadangan tersebut bagi tujuan semakan lanjut berkaitan implikasi undang-undang serta fungsi-fungsinya supaya tidak bertindih dengan bidang kuasa peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini. -PAHANGMEDIA