Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 10 NOVEMBER 2023 : Daerah Lipis kini dikenali sebagai Lipis Geopark bermula semalam selepas diperakui oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagai Geopark Kebangsaan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengiktirafan ini membuktikan pembangunan di Daerah Lipis berupaya menjadi sebuah tapak mesra warisan dan alam sekitar serta seterusnya berpotensi sebagai destinasi pelancongan lestari bertaraf antarabangsa.
“Saya cuma dimaklum mendapat kelulusan tetapi laporan penuh belum saya perolehi lagi, tapi ini satu petanda baiklah, dan ini satu lagi usaha kita untuk memelihara khazanah yang ada di bumi Pahang.
”Seterusnya kita nak pergi ke tempat lain pula, mungkin ke Chini, Maran dan sebagainya, perkara ini (Geopark) tidak berhenti begitu sahaja, dan apabila ada kelulusan ini dia boleh menarik pelancong datang ke tempat kita, dan ini di bawah UNESCO.
“Kita nak tarik daerah lain dan kita hendak tunjuk kepada mereka bahawa kita sangat prihatin kepada khazanah-khazanah yang terdapat di bumi Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Siswa / Siswi Dan Kluster Pertanian Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Kerpan di Lipis.
Hadir sama ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Noor, YB Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Sementara itu, menerusi kenyataannya di Facebook, beliau berkata, Lipis Geopark yang berkeluasan 5,198 kilometer persegi iaitu meliputi keseluruhan Daerah Lipis di Negeri Pahang dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan 6 tapak warisan biologi adalah Geopark Kebangsaan yang terbesar di Malaysia ketika ini.
Antara tapak di Daerah Lipis yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan seperti Galeri Aspirasi Lipis Geopark, Geotapak bernilai Kebangsaan (Zon Sutura Bentong-Raub,Jujukan Perms-Trias Gua Bama, dan Kuala Sungai Lipis), Geotapak bernilaiGeopelancongan (Ketakselarasan Gua Tahi Bintang, dan Gua Sisik Naga), Biotapak(Taman Negara Sungai Relau, Taman Eko Rimba Sg Yu), Tapak Budaya (Stesen Keretapi Lipis, Bangunan Majlis Daerah Lipis, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford), Pendidikan (SMK Merapoh) dan Komuniti (Perkampungan Orang Asli Pos Betau).
Pelaksanaan Lipis Geopark adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028) untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori World Heritage Site (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).
Beliau turut berharap agar penglibatan aktif oleh komuniti tempatan dan pihak berkepentingan dapat menjadikan wilayah Geopark Lipis berada di landasan yang tepat bagi diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun 2025. – PAHANGMEDIA

