Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 5 NOVEMBER 2023 : Negarawan muda daripada ‘Young Statesmen Programme’ diseru agar menjaga prestasi bagi melahirkan kepimpinan berkualiti pada masa hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi yang baik akan sentiasa dinilai di dalam kehidupan di alam apa sahaja pekerjaan yang dilakukan.
“Dalam alam pekerjaan prestasi ini penting kerana ia menjadi ukuran atau alat untuk tujuan-tujuan lain seperti pemberian bonus, kenaikan pangkat dan peluang-peluang untuk belajar dan sebagainya, jadi prestasi itu mesti diberi keutamaan kerana kita akan dinilai melalui prestasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Kepimpinan ‘Young Statesmen Programme’ anjuran Tun Ghazali Shafie Institute For Strategic Leadership dengan kerjasama University College Of Yayasan Pahang (UCYP) dan rakan strategik UCYP Institut Integriti Malaysia (IIM) bertempat di Institut Latihan Memperkasa Ummah (LIMU), Janda Baik di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd (KESB), Dato’ Sri Shahaniza Shamsudin dan Naib Canselor UCYP, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Fauzi Md Zain.

Young Statesmen Programme telah berlangsung selama tiga hari pada 3-5 November 2023 melibatkan seramai 36 peserta terdiri daripada Protege Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UCYP.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, program negarawan seumpama ini merupakan platform yang baik bagi melatih barisan pemimpin muda dengan perkongsian ilmu dan menjadi nilai tambah kepada peserta.
“Namun dalam pesanan saya, ini adalah garis panduan untuk meneruskan kehidupan dalam alam pekerjaan selebihnya kita masih perlu mencari ilmunya kerana belajar ini adalah proses sepanjang masa,” katanya. – PAHANGMEDIA

