Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 5 NOVEMBER 2023 : Peneroka FELDA Jengka 25 terharu dan gembira menerima suratan hak milik yang diterima selepas 37 tahun menduduki dan mengusahakan tanah FELDA sejak 1986.
Bagi Encik Abdul Aziz Ahmad, 58, bersama isteri, Puan Norsidah Abu Bakar, 57, menjadi peneroka merupakan langkah bijak kerana dapat mengubah hidupnya sekeluarga menjadi lebih baik.
Justeru, pemilikan tanah adalah detik paling bermakna dan menggembirakan Encik Abdul Aziz dan keluarga.

“Gembira sangat tidak terkata, sebelum masuk rancangan, memang tidak ada apa-apa, lepas tu dapat rumah, dapat ladang, memang saya rasa orang susah, kerana saya usaha nampaklah kejayaan saya.
“Dan juga nak ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, tu yang penting sebab kalau tidak memang tak dapat, nak ucap terima kasih sangat-sangat kepada Menteri Besar kita, Dato’ Sri Wan Rosdy sebab kalau tak kerana beliau kami tak sampai ke tahap macam ni daripada orang susah jadi orang senang, sampai dapat geran lagi, mana nak dapat tu, memang terima kasih sangat-sangat,” katanya.
Begitu juga bagi pasangan Encik Abdul Mutalib Abu Bakar, 60, dan isterinya, Puan Jaimatun Mat Taib, 57, sangat berbangga dapat meneruskan legasi peneroka FELDA oleh keluarganya.

“Saya berasa bangga sebagai anak peneroka dan jadi peneroka dapat meneruskan warisan ayah dan emak, saya mengucapkan kepada MB dan semua kakitangan FELDA, berterima kasih atas jasa-jasa mereka. Pihak kami bersyukur sebab kami mendapat apa yang diberi,” katanya.
Berbeza dengan Encik Saadun Jailani, 65, yang merasa terharu dan sedih kerana Allahyarham isterinya, Rasiah Saput yang telah meninggal dunia pada 2017 tidak dapat menerima suratan hak milik bersama.

“Perasaan tu gembiralah juga, tapi sedih pun ada juga, datang berdua tetapi menerima (suratan hak milik) saya seorang, itu yang sebak.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan FELDA mengusahakan untuk mendapatkan hak milik ini pada penduduk Jengka 25, selama 37 tahun kami menanti, hari ini 4 hari bulan 11 hari yang gembiralah bagi kami kerana mendapat hak milik kekal,” katanya.
Kesemua mereka bersama 149 peneroka lain telah menerima suratan hak milik masing-masing yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Semai Bakti, FELDA Jengka 25, semalam.
Sehingga kini 95 peratus peneroka FELDA telah menerima suratan hak milik masing-masing hanya 5 peratus yang masih dalam proses pemilikan. – PAHANGMEDIA

