Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 28 SEPTEMBER 2023 : Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Pelangai dinasihatkan supaya membuat pilihan bijak kerana keputusan yang diambil akan digunapakai untuk jangka masa yang lama.
Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan berkata mereka juga tidak perlu terpengaruh dengan kata-kata orang luar yang hanya datang sekejap ke Pelangai.
“Dengar cerita dalam masa 14 hari ini memang sedap tapi yang menghadap esok, lima tahun atau lagi empat tahun kita akan berhadapan dengan kehidupan seharian.
“Maka jangan terpesona, jangan kita terpengaruh dengan dakyah-dakyah dan cerita-cerita yang dibawa oleh orang luar, bukan orang sini pun. Orang luar pula yang bercerita banyak berkenaan dengan Pahang.
“Dan akhirnya nanti mereka akan balik pada 7 Oktober (hari mengundi), mereka balik dan empat tahun lagi penduduk Pelangai akan berhadapan dengan pelbagai masalah yang tidak ada suara yang kuat untuk membawa masalah atau apa jua rintihan mereka kepada Kerajaan Negeri apatah lagi Kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sembang Santai Bersama Penduduk Felda Chemomoi.
Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan calon Barisan Nasional, YH. Dato’ Amizar Abu Adam.
Beliau berkata calon Barisan Nasional merupakan wakil yang perlu dipilih oleh rakyat di Pelangai untuk memudahkan sebarang urusan.
“Ini penting kerana memilih wakil yang bersama dengan satu Kerajaan di negeri dan persekutuan itu banyak faedah dia, banyak keuntungan dia daripada kita memilih orang yang tidak sealiran dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Apa mereka boleh buat,” katanya. -PAHANGMEDIA

