Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 24 OGOS 2023 : Pemergian Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun sangat memberi kesan mendalam kepada rakan sekerja terutama ketua-ketua jabatan di Daerah Bentong yang bersama-sama merancang pembangunan di daerah berkenaan.
Bagi Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail, beliau merupakan antara kenalan terakhir yang berkesempatan berbual bersama arwah sebelum tragedi berlaku pada jam 2.48 petang namun Allahyarham Dato’ Sri Johari kelihatan diam dan tenang.
Berkongsi saat menerima perkhabaran pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dinaiki Allahyarham Dato’ Sri Johari terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, beliau seakan terkedu dan kaku untuk menerima perkhabaran itu.

“Allahuakbar, kitorang sudah selesai mesyuarat dan saya terus ke lapangan terbang untuk penerbangan balik pada petang itu, masa di lapangan terbang itulah saya dapat tahu ada kejadian pesawat terhempas tetapi masa itu tidak dipastikan lagi siapa penumpangnya atau siapa terlibat tetapi maklumat dan data-data yang saya dapat daripada beberapa sumber akhirnya dalam masa yang sekejap saya dapat rasakan dan saya yakin bahawa betullah arwah dah tiada.
“Jadi saya ingat hampir 40 minit saya tidak boleh buat apa-apa saya duduk di lapangan terbang, saya diam, duduk di satu kerusi , satu sudut, saya tidak boleh buat apa-apa, saya sangat terasa, sangat terkesan kepada saya,” katanya.
Pandangan sayu dan lafaz bicara yang terhenti sejenak memberikan ekspresi kehilangan dan terkesan kepada Dato’ Mohammad Shahid di atas pemergian Allahyarham Dato’ Sri Johari.
Di sebalik kesayuan tragedi yang berlaku, ketegasan dan kesungguhan Allahyarham dalam bekerjasama bersama-sama ketua jabatan turut diberi pujian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar turut berkongsi pengalamannya sehari sebelum kejadian ketika mengikuti Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Bentong bersama-sama dengan Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.

“Sebenarnya saya berkesempatan dengan arwah sebab kami selesai sahaja Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan sehari sebelum itu (kejadian) dan memang dengarlah arwah bercakap hendak pergi ke Langkawi dan sebagainya, dan saya pun tidak menyangka bahawa kejadian yang berlaku itu adalah arwah Dato’ Sri Johari dalam kemalangan tersebut.
“Secara peribadinya saya terasa juga lah kehilangan arwah Dato’ Sri Johari sebab sebagai Ketua Polis Daerah memang Dato’ Sri Johari sangat banyak membantu kami dan dia pun ada perancangan-perancangan tertentu membantu kami,” katanya.
Di dalam ketegasan Allahyarham Dato’ Sri Johari terselit kemesraan dan sifat menghormati dan merendah diri dengan menghulurkan bantuan kepada orang ramai khususnya rakyat yang memerlukan.
Kehilangan beliau ibarat permata yang tenggelam di lautan namun sinarnya masih dapat dilihat dari permukaan.
Segala jasa dan bakti yang dicurahkan sentiasa di ingatan dan perancangan pembangunan yang diusul akan diteruskan oleh pucuk pimpinan Kerajaan Pahang. – PAHANGMEDIA