Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 25 OGOS 2023 : Barisan kepimpinan Kerajaan Pahang telah bersetuju untuk mengagihkan protfolio yang pernah digalas oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari iaitu Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua barisan Exco Kerajaan Pahang telah sebulat suara untuk mengagihkan portfolio tersebut kepada mereka yang terpilih.
“Kita sudah agihkan kepada exco yang berkenaan, dia (Allahyarham Dato’ Sri Johari) pegang Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
“Keputusan Exco baru ini kita sudah agihkan Perumahan, saya minta SS (YB. Setiausaha Kerajaan Pahang) jaga sekejap, Kerajaan Tempatan Dato’ Fakhruddin, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Dato’ Nizar,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy sebelum itu hadir pada Majlis Bacaan Yassin Dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulangtahun Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2023 Masihi / 1445 Hijrah di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah di sini, semalam.
Hadir sama ialah Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.
Beliau juga menolak kemungkinan kerajaan akan melantik Exco baharu dalam masa terdekat bagi menggantikan Allahyarham Dato’ Sri Johari sekali gus menggalas portfolio yang pernah dipegang oleh Allahyarham.
Ditanya tentang calon UMNO bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Pelangai, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, beliau masih belum menerima senarai nama daripada UMNO Bahagian Bentong.
“Saya masih menunggu senarai nama daripada (UMNO) Bahagian Bentong, saya tunggu nama daripada diorang dulu, saya tak tahu, tak tengok lagi senarai calon tu, mereka (UMNO Bahagian Bentong) akan bincang tetapi setakat hari ini saya belum dapat lagi (senarai nama),” katanya. – PAHANGMEDIA