Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan menjalankan perlombongan bagi mengeluarkan pasir secara haram

KONTRAKTOR DIDAKWA CURI PASIR

Oleh : Fairus Mohd & Farahin Rosli

TEMERLOH, 23 OGOS 2023 : Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan menjalankan perlombongan bagi mengeluarkan pasir secara haram.

Tertuduh, Ee Tze Shien, 38, bagimanapun tidak mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan pada April lalu di Kampung Bolok, Mukim Semantan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan kesalahan menjalankan perlombongan tanpa suatu lesen atau pajakan yang sah berhampiran Kampung Bolok kira-kira jam 2.05 petang pada 13 April lalu.

Mengikut fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan dan menahan dua buah jengkaut serta lima buah lori tipper yang terlibat bagi pengekstrakan dan pemindahan bahan batuan dipercayai pasir secara haram.

Semasa siasatan dijalankan, sebuah jengkaut didapati sedang menggali dan memunggah sejenis bahan batuan disyaki pasir kotor ke atas beberapa buah lori tipper yang tiada nombor pendaftaran dan seterusnya dipindahkan dan dikumpulkan di atas stockpile yang berada dalam lot hak milik persendirian untuk dicuci, manakala sebuah lagi jengkaut didapati sedang melakukan kerja-kerja memunggah dan memindah pasir tersebut untuk tujuan jualan.

Turut ditahan sebuah lori tipper yang dipenuhi muatan bahan batuan disyaki pasir bernombor pendaftaran CAR 4564 yang sedang bergerak ke jalan utama.

Tertuduh didakwa telah mengeluarkan arahan kepada pemandu jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan pasir di kawasan berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara 1965 akta 828 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun.

Tertuduh yang diwakili peguam Mazura Ismail turut memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan yang lebih rendah ke atasnya memandangkan hanya dia bekerja bagi menampung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak yang masih belajar.

Tambahnya lagi, kesemua mesin dan jentera telah disita menyebabkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan, tidak dapat menjalankan kerja-kerja rutin dan terpaksa menanggung bayaran sewaan jentera dan mesin dari pemilik serta gaji pekerja juga terpaksa dibayar.

Hakim Haji Jamaludin Haji Mat kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 5 Oktober depan bagi pengurusan kes manakala pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Taqiuddin Azizan dan Asmadi Mahyudin. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram