Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 21 OGOS 2023 : “Saya boleh rumuskan bahawa kes Pertussis (batuk kokol) yang berlaku di Kampung Bahagia, Rompin adalah terkawal jadi tidak sepatutnya ada kenyataan ‘jangan datang ke Rompin, jangan datang ke Pekan dan Pahang’ yang amat tidak wajar.”
Itu penjelasan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP), Dato’ Indera Dr Nor Azimi Yunus berikutan viral (tular) di media sosial yang mendakwa penyakit tersebut menjadi ancaman yang lebih teruk selepas wabak Covid-19 dan orang ramai dinasihatkan agar tidak datang ke daerah Rompin bagi mengelak dijangkiti penyakit berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini tiada kes baru dan pihaknya terus aktif melaksanakan kerja-kerja pengesanan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada kes baru wujud.

“Kita telah pun mengesahkan satu kes jangkitan Pertussis (batuk kokol) dikesan di Kampung Bahagia, Rompin namun ia bukanlah satu perkara yang sangat luar biasa jika berlakunya kes Pertussis ini.
“Apa-apa sahaja kes kesihatan yang melebihi dua kes dalam satu lokaliti akan disebut sebagai wabak dan kita bukan hanya menghadapi wabak Pertussis, tapi juga ada wabak denggi, kusta dan sebagainya.
“Kita kesan satu kes (melibatkan seorang ibu dan dua anak) dan Pejabat Kesihatan Daerah Rompin telah membuat kawalan dengan melaksanakan ‘active case detection’ atau pengesanan kes secara aktif terhadap ahli keluarga dan masyarakat di sekitar kawasan kes. Kita tak tunggu orang datang hospital, tapi kita yang pergi dari rumah ke rumah untuk buat pengesanan,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Strategik (UKS), hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, makluman yang disebarkan dipercayai telah ditokok tambah sehingga menimbulkan situasi yang tidak sihat dan menakutkan masyarakat.
“Makluman melalui surat yang dikeluarkan adalah untuk pemberitahuan umum dan ia bukanlah untuk mendatangkan ketakutan kepada masyarakat.
“Tujuannya adalah untuk pihak kesihatan melakukan kawalan segera dan pergi mencari jika ada lagi kes-kes sama berlaku dan untuk kes di Kampung Bahagia, kita telah berjaya menemui 370 orang atau 50 peratus penduduk untuk buat pengesanan dan sampai hari ini kita masih menjalankan usaha menemui penduduk selebihnya.
“Setakat ini tak ada kes lain yang wujud dan kita telah pun memberi antibiotik Profilaksis kepada 37 orang kontak rapat pesakit selain membawa risalah pendidikan kesihatan berkenaan penyakit batuk kokol kepada setiap penduduk yang ditemui,” katanya.
Menurutnya, pengesanan dan pemeriksaan turut dilakukan ke atas 52 orang penduduk Kampung Sepakat yang terletak bersebelahan Kampung Bahagia dan tiada kes baru ditemui sehingga ke hari ini.
Menurutnya, rantaian sesuatu wabak boleh dikatakan putus sepenuhnya jika tiada kes baru berlaku dalam tempoh dua minggu daripada kes terakhir dikesan.
Justeru beliau berharap orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang bentuk makluman atau berita tidak sahih berkenaan kes jangkitan Pertussis ini. – PAHANGMEDIA