Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai telah diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang hari ini

SPR ADAKAN MESYUARAT KHAS DUN PELANGAI MINGGU INI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 OGOS 2023 : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan penetapan tarikh urusan Pilihan Raya Kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai minggu ini.

Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, ini merupakan prosedur biasa berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun pada 17 Ogos lepas.

“Mesyuarat kemungkinan akan diadakan pada minggu ini, tak pasti lagi tapi kemungkinan minggu ini mesyuarat untuk dapat keputusan. Ini merupakan prosedur biasa macam di Chini dulu yang turut melibatkan kematian. Selain itu tarikh sebelum tiga tahun itu tidak sampai lagi, kalau selepas tiga tahun, tak perlu dah (PRK).

“Sebelum tiga tahun, Dato’ Sri Speaker memaklumkan kekosongan (kerusi) pada SPR untuk adakan Pilihan Raya. Lepas tiga tahun, Dato’ Sri Speaker kena bagi notis kekosongan, tapi Speaker boleh beritahu tidak perlu adakan Pilihan Raya,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, notis kekosongan DUN Pelangai telah diserahkan kepada SPR hari ini di Wisma Sri Pahang pada 11.20 pagi.

“Walaupun kita masih lagi diselebungi rasa sedih di atas pemergian Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun yang merupakan ADUN Pelangai dan exco Kerajaan Negeri tetapi ini merupakan tugas dan tanggungjawab serta prosedur yang harus kita laksanakan.

“Jadi bila ada kedapatan kerusi kosong disebabkan oleh perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, maka Pilihan Raya Kecil terpaksa diadakan.

“Sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, bersama dengan Timbalan saya, Tuan Lee Chin Chen, serta Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Negeri, telah pun menyerahkan surat memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan Dewan Undangan Negeri N.36 Pelangai bagi tindakan selanjutnya oleh SPR,” katanya.

Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina dalam insiden 2.40 petang Khamis lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham Dato’ Sri Johari memperoleh majoriti undi sebanyak 4,048 undi, dan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).

Menurut data yang dikeluarkan SPR setakat Mei 2023, sebanyak 16,475 pengundi direkodkan bagi DUN N.36 Pelangai. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram