Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkenan bercemar duli mengiringi ayahanda baginda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang, di Temerloh

PEMASYHURAN RIZAB HARIMAU DIRAJA AL-SULTAN ABDULLAH, RIZAB HIDUPAN LIAR TENGKU HASSANAL DAPAT KERJASAMA DARI PEMEGANG TARUH

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)

TEMERLOH, 29 JULAI 2023 : “Kejayaan penubuhan dan pengurusan Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama dari ramai pemegang taruh,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Justeru itu, baginda turut meminta agar Negeri Pahang dapat memasang impian lebih besar demi memperkasakan biodiversiti dan kesuburan flora dan fauna di negeri ini pada tahun mendatang.

Titah baginda lagi, pemasyhuran dua rizab di Pahang itu bertujuan memelihara dan melindungi habitat semulajadi dan membantu meningkatkan populasi Harimau Malaya seterusnya meningkatkan keluasan kawasan rayau bagi mengelakkan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

“Paduka anakanda berasa sangat bersyukur kerana Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang sangat komited menubuhkan Rizab Harimau Malaya Diraja Al-Sultan Abdullah seluas lebih kurang 134,000 hektar melalui pewartaan secara berfasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli mengiringi ayahanda baginda
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang, di Temerloh, pagi tadi.

Turut berangkat ialah Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB. Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Belia dan Sukan, YB. Hannah Yeoh, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, wakil YAB Menteri Besar Pahang yang juga Exco Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Titah baginda lagi, Rizab Harimau Diraja akan diuruskan sebagai kawasan ‘Central Forest Spine’ (CFS) bagi membentuk rangkaian ekologi.

“Rizab Harimau DiRaja ini akan bersambung dengan kompleks-kompleks hutan yang berada di banjaran utama dalam Semenanjung Malaysia.

“Rizab ini dibangunkan sekitar tahun 1923 dengan tujuan utama untuk memelihara biodiversiti flora dan fauna tempatan dengan kira-kira 70 peratus hidupan liar dilindungi di bawah Akta Perindungan Haiwan Liar 2010 di dalam kawasan Rizab Hidupan Liar Tengku Hasanal.

“Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal boleh dijadikan sebagai makmal biologi hidupan yang boleh digunakan untuk tujuan kajian, pendidikan dan eko-tourism,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan tidak menolak apa jua pembangunan termasuk aktiviti eko-tourism.

“Bagaimanapun, ianya haruslah selari dengan prinsip E-S-G (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus), mengambil kira pembangunan mampan, kesejahteraan sosial dan tanggungjawab amalan tadbir urus.

“Pastinya manfaat sosio-ekonomi untuk masyarakat Orang asli dan komuniti tempatan perlu diutamakan dan diambil kira,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram