Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkenan bercemar duli pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG SAMBUT BAIK USAHA PEMASYHURAN RIZAB HARIMAU, HIDUPAN LIAR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)

TEMERLOH, 29 JULAI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyambut baik usaha kerajaan memasyhurkan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal.

Titah baginda, usaha ini merupakan satu anjakan paradigma yang positif terhadap memelihara alam sekitar dan hidupan liar di Negeri Pahang.

“Saya dan anakanda saya akan berusaha menjadikan agenda ini akan diteruskan dan kita semua harus memberi sokongan dan dokongan khususnya pihak kerajaan, pihak kerajaan federal (persekutuan) sekali pun dan NGO-NGO yang berminat untuk memberi protection (perlindungan) kepada harimau atau pun hidupan liar ini.

“Saya ingin nasihatkan kepada pihak-pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri sebab saya hari ini akan melancar satu rizab yang besar di atas nama saya dan juga atas nama anakanda saya, sepanjang saya jadi Tengku Mahkota 45 tahun, tidak ada lagi, tidak ada usaha untuk merizabkan satu kawasan yang besar di atas nama seorang Sultan atau pun Tengku Mahkota, ini adalah satu anjakan paradigma yang positif terhadap memelihara alam sekitar.

“Masa dulu yang selalu namakan nama saya ialah air terjun je, air terjun, itu sahaja yang saya boleh ingat dalam hutan dan ini satu kawasan yang luas 134,000 hektar di Gunung Aais dan juga di sini, kawasan rizab Tengku Hassanal dan saya harap kawasan-kawasan yang dicadangkan ini diwartakan dan diselenggara dengan sebaik yang mungkin,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika berkenan bertitah ketika bercemar duli pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli pada Majlis Pemasyhuran Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Bukit Rengit, Lanchang.

Turut mengiringi ialah anakanda baginda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB. Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Belia dan Sukan, YB. Hannah Yeoh, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, wakil YAB Menteri Besar Pahang yang juga Exco Kerajaan Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Baginda turut menitahkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan satu usaha yang baik dalam melaksanakan dan meningkatkan pendekatan-pendekatan berkonsepkan ‘sustainable development approach’ atau pun pendekatan pembangunan mampan bukan sahaja untuk jangka masa pendeka tetapi juga bagi jangka masa panjang.

“Ini adalah harapan saya dengan pendekatan ini, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan setiap aspek alam sekitar sebelum meluluskan sebarang projek sama ada di tanah tinggi, pulau mahu pun daratan, ini kita harap akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan agar Kerajaan Pahang dapat menghutankan dan menghijaukan lebih banyak kawasan daripada jumlah sedia ada sebanyak 57 peratus kawasan hutan yang belum disentuh di negeri ini.

Baginda juga mencadangkan agar Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat membuat perancangan jangka panjang melibatkan kawasan takungan air. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram