YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Raub hari ini.

TIADA LAGI KOMPAUN, TERUS DAKWA JIKA CEROBOH TANAH KERAJAAN, TEGAS MB PAHANG

Oleh: Fairus Mohd

RAUB, 22 JULAI 2023 : “Tiada lagi kompaun tapi kita akan dakwa terus di mahkamah untuk mengajar mereka yang menceroboh tanah kerajaan di negeri ini.” Itu tegas YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Menurut beliau, tindakan itu bukan untuk memalukan tapi memberi pengajaran agar tiada lagi pihak yang sewenang-wenangnya menceroboh hak kerajaan.

“Kerajaan Negeri akan perangi habis-habisan (pencerobohan), kita ingin minimakan atau kalau boleh kita sifarkan penerokaan tanah haram dan perlombongan haram.

“Apa jua aktiviti yang berkaitan dengan aset Kerajaan Negeri kita tidak benarkan sama sekali diceroboh secara haram kerana ini merugikan kita,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Dato’ Hamdan Hussin, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, , Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal serta Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan.

Dalam pada itu ketika ditanya lanjut berkenaan aktiviti pencerobohan tanah, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata tindakan tegas adalah perkara yang diutamakan kini.

Menurutnya lagi, ia termasuk tiga kes tangkapan dilakukan dalam tempoh sepuluh hari baru-baru ini di mana semua yang terlibat akan di bawa ke muka pengadilan.

“Saya juga meminta Pegawai Undang-Undang Negeri, YB Setiausaha Kerajaan Pahang serta pegawai-pegawai daerah supaya sekiranya ada berlaku penangkapan, saya tidak benarkan kompaun lagi.

“Ini kerana saya dapati kompaun ini tidak menakutkan mereka dan seolah-olah Kerajaan Negeri tidak serius. Kita akan membawa mereka ke muka pengadilan, biar rakyat nampak apa yang kita buat. Walaubagaimanapun, saya berharap ianya dapat dihentikan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menolak malah sentiasa mengalu-alukan sekiranya ada yang ingin memohon pemilikan tanah mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan termasuk tidak memohon tanah melibatkan rizab hutan simpan, hutan tadahan air, rizab sungai atau kawasan-kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja pembangunan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram