Oleh: Fairus Mohd
RAUB, 22 JULAI 2023 : Orang ramai masih berpeluang melunaskan cukai tanah masing-masing tanpa dikenakan denda melalui insentif Pengecualian Denda Lewat bermula hari ini hingga 14 Oktober nanti.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif ini adalah satu usaha bagi menggalakkan lebih ramai rakyat di negeri ini membayar cukai yang menjadi pulangan kepada golongan yang memerlukan.
“Kita dapati juga kadar kesedaran pembayar cukai tanah ini sangat rendah. Ini sebenarnya merugikan kepada pemilik-pemilik tanah kerana mereka sepatutnya bayar sebelum 31 Mei dan selepas dari (tarikh) itu mereka akan dikenakan denda lewat bayar.
“Melalui kesedaran ini, sama ada suka atau tidak suka, cukai tanah harus dibayar kerana itu tanah kita. Kita harus faham tanah ni bukan senang untuk didapati dan permohonan tanah makan masa bertahun sebab ia melibatkan prosedur dan proses yang agak panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Dato’ Hamdan Hussin, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal serta Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan.
Dalam pada itu beliau turut menzahirkan rasa gembira dengan kutipan yang dicapai pada program yang diadakan dan berharap jumlah kutipan semakin bertambah dalam tempoh yang ditetapkan.
“Saya dimaklumkan sebanyak RM106 juta (cukai) yang telah dibayar pada hari ini kepada Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi. Agihan kutipan cukai ini kita salurkan kepada rakyat semula melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang melibatkan ratusan juta ringgit.
“Bagi tambah lagi hasil Kerajaan Negeri, pihak PTG sendiri dah bagitahu mereka mensasarkan satu juta milikan tanah dalam tempoh tiga tahun lagi. Namun kita berhati-hati dalam pemberian milikan tanah ini kerana tanah adalah sumber terhad,” katanya.
Sementara itu beliau turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan kadar cukai tanah sekaligus membebankan rakyat terutamanya mereka yang memiliki tanah berkeluasan sepuluh hektar ke bawah.
“Ini adalah kali kedua saya tegaskan tidak ada kenaikan cukai tanah dalam tempoh lima tahun.
“Kenaikan cukai pada dua ke tiga tahun lepas kita naikkan secara berhati-hati kerana tidak mahu membebankan rakyat.. itu pun (kenaikan cukai) dilakukan selepas 26 tahun (tiada sebarang kenaikan),” katanya. -PAHANGMEDIA